Wednesday, October 20, 2010

TATIUC- UNIVERSITI KEMAHIRAN MENJELANG 2015

1
TATIUC- UNIVERSITI KEMAHIRAN MENJELANG 2015 Selaras dengan hasrat untuk menjadi universiti kemahiran pada tahun 2015, TATIUC terus mengorak langkah memperkasakan bidang akademik dan penyelidikan. Menurut Rektor, Dr. Mohd Rozailan bin Mamat @ Ibrahim, dengan kepakaran dan kemudahan yang sentiasa dibangunkan di samping komitmen dan kerjasama daripada semua kakitangan, TATIUC mampu menjadi sebuah universiti kemahiran yang berkualiti di rantau ini. TATIUC yang terkenal dari program-program diploma dan ijazah yang berteraskan kemahiran akan mengekalkan sistem pembelajaran yang sedia ada iaitu 70% praktikal dan 30% teori. Kaedah ini terbukti berjaya melahirkan modal insan yang terlatih dan berkualiti tinggi. Malah hampir 90% graduan TATIUC telah berjaya mendapat pekerjaan di sektor- sektor industri.
2
Dalam pada itu, kerjasama dengan universiti luar negara turut membantu memperkasakan bidang akademik dan penyelidikan. Antaranya kerjasama dengan MIE Universiti (Jepun), Universiti Sumatera Utara (Indonesia) dan Queen’s University of Belfast (Ireland). Melalui kerjasama ini, TATIUC akan membangunkan penyelidikan dalam bidang robotik dan kejuruteraan polimer. Selain itu, kerjasama dengan IPT antarabangsa akan dikembangkan bagi pertukaran tenaga pengajar dan pelajar serta penyediaan peluang pengajian pasca siswazah. Dalam perkembangan lain, jumlah kemasukan pelajar untuk tahun ini telah meningkat berbanding tahun sebelumnya.Pertambahan ini membuktikan masyarakat percaya terhadap keupayaan TATIUC melahirkan graduan yang berkualiti. Setakat ini, bilangan pelajar di TATIUC adalah seramai 1669 orang. Bagi menampung kapasiti pelajar yang semakin bertambah, kampus induk TATIUC dijangka siap sepenuhnya 2014. Kemudahan seperti dewan konvokesyen, perpustakaan dan kompleks sukan yang lebih kondusif akan dapat memberi keselesaan kepada para pelajar.
3
TATIUC akan terus membangunkan kemudahan-kemudahan pembelajaran dari semasa ke semasa. Kemudahan pembelajaran yang lengkap dan terkini merupakan kelebihan utama belajar di TATIUC. Ini telah diperakui oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Malah mereka turut menyatakan kemudahan-kemudahan yang terdapat di sini adalah setanding dengan peralatan di IPTA dan IPTS lain. Bagi TATIUC, pendedahan menggunakan peralatan yang terkini akan dapat membantu para pelajar belajar dengan lebih berkesan dalam bidang kemahiran. Selain MQA, pihak industri juga telah memberi komen yang positiff terhadap peralatan makmal dan mesin yang dimiliki oleh TATIUC. Kemudahan pembelajaran yang lengkap dan terkini akan menjadi daya tarikan utama kepada pelajar lepasan SPM melanjutkan pelajaran di TATIUC.
Selain menawarkan program-program akademik TATIUC juga telah menjalankan program untuk melatih para graduan mengganggur. Skim latihan ini di bawah peruntukan Kementerian Kewangan dan ECER. Program yang bermula pada tahun 2002 ini telah berjaya melatih seramai lebih 1000 orang. Objektif utama program ini membantu para graduan meningkatkan kemahiran dalam pelbagai bidang antaranya robotic, minyak dan gas, pembuatan dan IT.
4
Semenjak di tubuhkan pada tahun 1993, TATIUC telah melahirkan seramai 2382 graduan termasuklah 375 graduan di majlis konvokesyen pada tahun ini. Bagi peringkat Diploma seramai 234 graduan, HND seramai 119 graduan manakala selebihnya adalah di peringkat sijil. Banyak kejayaan telah dikecapi oleh para pelajar dan pensyarah TATIUC di peringkat kebangsaan dan antrabangsa. Antaranya pertandingan kemahiran CISCO dan pertandingan kemahiran Malaysia, My Skill. Kejayaan ini membuktikan kemahiran pelajar dan tenaga pengajar TATIUC adalah setanding dengan IPT-IPT yang ada di Malaysia. TATIUC akan terus meningkatkan kualiti pendidikan selaras dengan hasrat untuk menjadi sebuah universiti penuh menjelang tahun 2015. Kemudahan pembelajaran yang lengkap dan terkini, tenaga kepakaran yang dimiliki, sistem pembelajaran yang berteraskan kemahiran serta pembangunan dalam bidang penyelidikan merupakan faktor penting untuk menaiktarafkan TATIUC sebagai sebuah universiti penuh. TATIUC beriltizam untuk menyahut seruan kerajaan sepertimana yang digariskan dalam RMK10 supaya meningkatkan sumber tenaga manusia berkualiti di Malaysia.

2 comments:

Unknown said...

Tuan punyer blog ni pelajar lepasan tati ke?

Unknown said...

Tuan punyer blog ni pelajar lepasan tati ke?

Post a Comment